CC's Customer

Thursday, November 4

Telahan Rasa

Aku bukan jenis yang suka meluahkan segalanya tak tentu masa. Aku lebih rela memendam walaupun aku tahu di hujung jalan ceritanya nanti aku yang sakit. Apa yang aku katakan itu dan ini tidak semestinya sama maksud dengan apa yang cuba aku sampaikan. Aku sendiri tak tahu mengapa, aku lebih suka menulis dari meluahkan isi hati yang terbeban melalui lisan. Mungkin lebih mudah untuk aku curahkan segalanya di sini, diri terasa tidak membebankan sesiapa.

Sebuah kehidupan, sememangnya begini. Entah bagaimana yang aku harapkan pun entahlah. Aku sendiri kabur akan jalan cerita kisah hidup aku. Terasa bagaikan hidup aku tiada apa yang menarik, apa yang aku ada semua orang ada. Yang membezakan cerita kita adalah watak-watak dalam cerita dan episod tersebut. Cinta datang dan cinta pergi, namun tiada satu pun yang mampu menetap di hati, sekadar menjadi tempat persinggahan burung-burung berhinggap. Lalu terbang begitu sahaja dan kadang-kadang meninggalkan kesan buruk itu di dahan hati aku lantas berbekas hingga menghitamkan hati aku. Ahhh~ burung tak guna! Astaghafirullahal'azim....itu kan makhluk Allah juga, lumrahnya begitu, kenapa aku perlu marah.

Duhai hati, tenanglah dikau. Suatu masa nanti kau akan ketemu juga pemegang kunci mangga yang merantai jiwa kau selama ini. Aku sering mendengar rintihan si hati yang meronta-ronta, aku menarik nafas sedalam-dalamnya, ''sabar hati''. Acap kali aku ucapkan untuk menyedapkan hati. Allah itu Maha Adil dan Maha Penyayang. Sedikit waktu lagi hati, aku akan bebaskan kau. Ya Allah, apakah rencanaMu untuk hambaMu ini? Aku cuma mampu berharap yang terbaik dariMu Ya Allah kerna aku yakin Kau adalah segala-galanya bagiku. Syukur, aku punyai teman-teman dan para sahabat yang setia bersama aku dalam apa jua keadaanku.

Emak, sesungguhnya anakmu ini sangat merindui belai kasih mak, kata-kata mak, amarah mak, aku rindui semua itu, aku tahu mak sayangkan aku sebenarnya. Aku pelajari sesuatu itu semasa aku hampir kehilangan mak sewaktu aku berumur 10 tahun, usia kanak-kanak mentah yang masih tidak faham erti berdikasi. Hidup aku tak keruan pabila mak membisu, aku tahu aku selalu menyakiti hati mak, maafkan anak tunggal mu ini mak! Ayah, aku juga rindu kucupan ayah di dahi aku setiap malam sebelum tidur. Hangat, sekejap aku terkhayal menjadi anak cilik yang ayah kendong suatu ketika dahulu. Walaupun ayah garang tapi aku tahu ayah tegas bersebab dengan aku, satu-satunya anak perempuan dan tunggalnya. Harta yang tidak ternilai bagi dirinya, satu-satunya waris keturunannya yang tak mungkin diwarisi sesiapa lagi kelak. Ayah dan mak, kalianlah segalanya pada aku! Aku tak mungkin sekuat ini untuk harungi selautan dugaan di depan ini tanpa pembakar semangat ayah dan emak. Tak dapat aku bayangkan hidup aku tanpa kehadiran kalian berdua suatu hari nanti. Na'uzubillah. Namun, aku redha dan aku sedar, suatu hari nanti ayah dan emak memang akan meninggalkan aku sendiri di dunia ini yang tinggal cuma kasih sayang kalian.

Dan cerita aku itu, biarkan saja. Tutup bab itu, kita mulakan bab kehidupan yang baru. Biarkan muka surat itu sekadar tatapan umum untuk dijadikan bahan sejarah lalu menjadi bahan artifak anak cucu aku puluhan waima ratusan tahun akan datang. Terima kasih aku ucapkan kepada semua watak-watak yang terlibat, sama ada yang menggembirakan, menyakitkan hati, menyedihkan, menolong dan sebagainya, pandai-pandailah kategorikan diri kamu semua. Siapa aku untuk melabel watak-watak yang wujud dengan gelaran itu dan ini.

2 comments:

Kamila Yusof said...

Nice, I love the way u write.
personal blog yg gunakan bahasa penuh.
keep it on noorie :)

NuryBella said...

Kamila: Thank you! I don't aspect you all would like to read it..hehehe