* 1 *
PINTU
BILIK TERKUAK mengeluarkan bunyi nyilu engsel yang mula berkarat atau
barangkali terlalu ketat. Bunyi pintu itu cukup mengganggu lena manusia yang
sedang meleleh air liur basinya dan meringkuk memeluk bantal peluk. Matanya
terkejat seketika, air liur likat di tepi bibir diseka dengan tangan walau mata
masih enggan dibuka. Posisi tidur
diubah, dari meringkuk kini terlentang, bantal peluk masih kemas dipeluk atas
dada. Renjisan air terkena cantik di atas wajahnya. Sekali. Dua kali. Tiga
kali. "Ishhhh...! Air apa pula ni? Gerimis ke?" omel manusia yang
masih di atas katil tersebut, mata masih lagi rapat cuma tangan sibuk menyapu
renjisan air yang tersisa.
"Hoi...bangun!
Dah subuh...." suara si tukang renjis.
"Alahhh..kejaplah.
Lima minit lagi eh..janji lima minit lagi aku bangunlah," kejutan si
tukang renjis tak dihiraukan, cuma lima jarinya saja yang disuakan.
"Lima
minit konon. Kau punya lima minit tu memang tak bangun langsung la kan,"
Si tukang renjis bercekak pinggang. "Ini tak boleh jadi ni, tak boleh
dibiarkan makhluk ni terus tidur," gumam si tukang renjis dalam hatinya.
Selimut di kaki diselak, kedua-dua belah kaki si rakan kini dalam cengkaman sambil menarik kedua-dua belah kaki Irin dengan
cengkamannya yang kuat dan kemas.
"Oh
mak kau kena tarik dengan hantu!" Irin terbangun duduk serta-merta dengan
mata yang terbuntang dan rambut menggerbang. "Nadin!
Astaghafirullahhal'azim...terkejut aku tiba-tiba kaki aku sejuk, kena tarik
pula tu. Mati-mati aku ingat ada hantu tarik. Haishh," kepala yang tak
gatal digaru-garu dengan muka yang sembab baru bangun tidur.
"Banyaklah
kau punya hantu. Hantu apa dah subuh ni. Dari tadi aku masuk, buka pintu bilik,
renjis muka kau dengan air wuduk aku, kau buat derk je. Hah, siap minta lima
minit lagi nak sambung tidur eh. Agak-agak kalau malaikat nak cabut nyawa kau
tu boleh tak minta tangguh, cakap 'kejap'?" Nadin membebel dengan tangan
yang memeluk tubuh. Wajahnya nampak tegang subuh ni.
"Apa
hal pula minah ni nak membebel panjang dekat aku. Mimpi buruk kah malam
tadi?" dalam hati Irin menduga mood Nadin pagi ini. "Baik Ustazah
Nadin Insyirah. Saya tahu saya salah. Terima kasih sebab kejutkan saya bangun
subuh dan tarbiah ustazah tadi. Boleh kita berjemaah sama? Hee..." sebaris
gigi yang masih belum digosok dipamerkan dengan muka busuk belum dicuci.
"Yeee...busuknya
muka kau. Cepatlah pergi cuci muka semua, ambil wuduk. Aku tunggu dekat ruang
tamu, kita jemaah," segera hidung dan mulutnya ditutup sambil melarikan
diri keluar dari bilik Irin, saja menyakat rakan serumahnya itu.
"Busuk
kau kata? Hei, orang cakap kalau nak tengok perempuan tu cantik ke tak, tengok
rupa dia bangun pagi. Apa tak cantikkah aku? Busuk eh? Esok sebelum tidur aku
pakai make up, pakai perfume dulu, biar bangun pagi nampak cantik. Hahahaha"
"Hah
iye, bakal suami kau tengok pun boleh pengsan. Hoi, cepatlah
jangan nak merepek je!" Jerit Nadin dari luar.
NADIN
SIBUK MENGGAUL nasi goreng yang dimasaknya di dalam kuali. Irin masuk ke dapur
sambil menyanyi-nyanyi, datang dekat di belakang Irin.
"Sedapnya bau....patutlah dari
kat atas aku boleh bau. Kau masak nasi goreng rupanya. Rajinnya Nadin buat
sarapan, bini siapalah ni nanti. Untung mak mentua." tangannya mencapai
teko di atas rak dapur, lincah mencapai teh dan gula.
"Ha'ah untung sangat tapi siapa dapat kau lagi untung. Hehehe. Kau nak
telur goreng tak buat lauk?" Irin cuma mengangguk tanda mahu. Nasi goreng
kini sedang dihidangkan dalam pinggan.
Irin
terhenti seketika, dia memandang Nadin dengan pandangan curiga. "Lagi
untung? Maksud kau? Hehh, perli aku la tu tak pandai masak," ada sedikit
nada berkecil hati. Nadin mengambil dua biji telur dari peti sejuk lalu
dipecahkan satu per satu ke dalam kuali, dia tertawa kecil. "Haa, gelak!
Yelah, aku tau la aku tak hebat macam kau, Nadin."
"Mana
ada aku gelak. Hehe. Siapa kata kau tak pandai masak? Sedap je aku makan kau
masak bubur ayam dulu, maggi goreng, maggi rebus, pancake, kentang goreng,
telur goreng, cheese cake, muffin. Hah, banyak apa kau masak. Pandailah
tu." Wajah Irin yang sudah siap menuang air teh-o panas dipandang sekilas
sebelum melabuhkan punggung duduk berhadapan dengannya.
"Nadin,
kau tau tak masakan yang kau sebutkan tu semua masakan jenis goreng, rebus and
instant? I mean like, budak sekolah rendah pun boleh masak
macam tu. Nak dibandingkan dengan kau, macam-macam masakan melayu kau pandai
masak, mana je kelas memasak, kelas menjahit yang kau tak pergi."
"Alaa, kau pandai masak la
sebenarnya, cuma kau tu je yang nak dengan tak nak. Walaupun kau masak benda-benda simple tapi menjadikan?
Sedap juga kan? Tak ada lah ke laut sangat macam Wawa masak. Nah telur kuning,
kau suka kan?" kuning telur goreng ditebuk dan dialihkan ke pinggan Irin.
Nadin tidak suka makan kuning telur.
"Yeay,
kuning telur! Kau ni baik tak payah makan telur macam ni. Hmm, still aku tak
terror masak macam kau, mana ada mak mentua suka menantu yang tak reti masak,
menantu macam kau ni Nadin memang terhangat di pasaran tau, especially skill
masakan melayu tu, extra credit. Not to mention, Wawa masak memang tak selera
aku. Tak ada rasa langsung, dah la aku ni cerewet bab makan." dengan penuh
gaya pengkritik makanan profesional Irin mengkritik masakan rakan mereka.
"Amboi
bukan main kutuk Wawa masak. Memang...kau tu cerewet, itu tak makan ini tak
makan. Simple but fussy. Macam mana nak masak masakan melayu, kau sendiri pun
tak suka makan. Yang kau tahu, ayam
masak merah, rendang, masak kicap. Ulam-ulam sayur semua kau 'allergic'."
"Hahaha.
Betul! Tau tak apa. Sebab tu aku tak suka. Alaa, tak apa lah nanti kalau
husband aku suka makanan melayu, aku belajarlah masak untuk dia je. Kalau tak,
hip-hip hoorayy lah saya cik Nadin. Haha."
"Oh yeah, kejap lagi nak keluar
pergi kenduri tu pukul berapa?" soal Nadin.
"Nadin! Ya Allah, aku terlupa
majlis Farah tu hari ni, hadiah tak beli lagi. Macam mana?"
"Bertuah, aku dah bagi duit dari
minggu lepas suruh share beli hadiah, kau tak beli lagi? Dah cepat, lepas makan
ni kita keluar beli hadiah, then terus pergi kenduri tu."
"Sorry...serious aku lupa. Mana entah aku letak kad jemputan dia, tu tak ingat. Kau
pakai baju warna apa nanti? Aku nak pakai pink lah, eh tak, nak pakai biru. Oh
no, biru aku dah pakai wedding Mizah bulan lepas kan? Hmm, merah lah, oh tak
boleh juga merah nampak garang nanti tak ada orang berani nak ngorat aku. Pink,
lembut sikit tapi aku tak suka pink. Eh, Nadin, pink okay tak? Ke kau nak pakai
pink juga? Kalau kau pakai pink, aku tukar color lain tapi nak pakai color apa
eh? Alaa....Nadin pilihkan untuk aku. Ni tak suka ni pergi kenduri kahwin, tak
tahu nak pakai baju apa, warna apa. Arghhh...stress!"
Irin membebel panjang lebar, dia
selalu begini bila perlu pergi majlis perkahwinan, buntu keliru serabut. Nadin
memekakkan telinga dengan slumber dia mengangkat pinggannya yang sudah kosong
ke sinki untuk dicuci. Tangan yang basah setelah mencuci pinggan dilapkan pada
kain yang tergantung. Irin masih membebel, pening memikirkan baju yang akan
dipakainya. Nadin berbisik ke telinga Irin sebelum meninggalkan Irin
menghabiskan nasi gorengnya, "Pakai
je warna apa-apa cik Irin, awak pakai warna apa pun cantik. Kalau ada yang
lekat, rezeki. Kalau tak ada, sila cuba lagi. Hahahaha!"
No comments:
Post a Comment