CC's Customer

Thursday, February 17

Inilah Melayu

 


*Baca sambil dengar lagu ni. Terima kasih :)


''Jangan jadi macam buah catur yang hanya boleh bergerak dengan peraturan, jadilah seperti rama-rama yang boleh terbang ke mana sahaja''. Lebih kurang macam post seorang sahabat di FB. Sedangkan lidah lagi tergigit, kawan boleh makan kawan, inikan pula ukhwah ibarat adik-beradik yang terjalin. Pahit getir itu dulu pernah kita lalui bersama suatu ketika dulu. Kalian di atas, kami di bawah, namun kami tetap menjadi air untuk menyokong kalian terus terapung di atas tapi adakah kalian pernah menyedari akan perihal tersebut? Pernahkah seketika kalian melihat siapa kami disebalik air jernih yang menyokong kalian di bawah itu? Budi dibalas budi bukan dibalas tuba. Jangan dek kerana seseorang itu mencapai lebih daripada apa yang kalian miliki membuatkan kalian rasa tergugat dengan kedudukan pangkat dan darjat yang sedang kalian kecapi sekarang. Apa yang kalian miliki itu bersifat sementara sahaja, janganlah kalian terpukau terpana alpa dengannya. Rezeki masing-masing, kalian patut berasa bangga dengan pencapaian seseorang itu.

Apa dosa mereka pada mata kalian? Apa hak kalian untuk menghalang dengan siapa mereka berkawan. Gentarkah kalian melihat mereka di tempat yang lebih baik? Dengki? Inilah melayu, melayu mudah lupa, melayu berhati hitam, hasad dengki itu begitu sukar dikikis sejak zaman dulu lagi. Melayu cantas melayu. Memang patutlah Tun Dr. M menulis tentang buku Dilema Melayu. Nah..inilah dia dilema melayu yang menjadi barah dalam kalangan melayu sendiri. Bukan sekadar di mata masyarakat dan politik Malaysia, dari kanak-kanak, remaja, dewasa hingga ke peringkat golongan warga emas, dilema ini terus menular. Sampai kapan? Terhantuk baru terngadah? Bila nasi menjadi bubur? Bila kucing keluar tanduk? Bila matahari terbit dari barat? Bukalah mata mu wahai bangsaku! Sedarlah kalian. Ini bukan caranya kalian memperlakukan demikian. Menghukum seseorang dengan alasan yang tak masuk dek akal ibarat menikam dari belakang dan tuduhan melulu itu hanya untuk orang-orang yang sedang tergugat kedudukannya. Kami bukan di pihak siapa-siapa. Ada akal & fikiran yang masih waras? Tepuk dada tanya hati, wajarkah tindakan kalian itu?

Aku menulis tentang ini bukan kerana aku taksub dengan siapa-siapa mahupun mana-mana organisasi, tidak juga untuk menyebelahi mana-mana pihak. Aku menulis kerana aku juga pernah bersama-sama kalian dulu berjuang untuk berada di atas, aku juga lalui liku yang sama bersama kalian. Kegagalan aku membukakan mata aku lebih luas, aku nampak apa yang berlaku sebenarnya, aku tersedar. Lantas aku tahu menilai mana yang baik mana yang buruk itu tapi aku tak pernah berpaling pada kalian kerana aku terus setia menyokong atas dasar ukhwah. Setelah beberapa lama aku bersama mereka, aku lebih memahami siapa mereka. Mereka bukan pesalah yang perlu kalian hukum atau menuding jari seperti ini. Mereka juga seperti kita, tiada apa yang membuatkan kalian terancam. Jika kalian nampak akan kebenaran itu, begitu juga kami tapi kenapa kalian masih mahu meneruskan pendustaan itu? Bersaing secara sihat itu lebih baik. Horizon kita masih sama, walau siapa pun kita, sama-sama kita menggembleng tenaga & usaha untuk menjaga keamanan & kemakmuran bumi kita. Jangan berasa terlalu selesa dengan keadaan yang ada, kita hanya merancang Tuhan yang menentukan segalanya. Bukan kita yang menentukan nasib seseorang. Keji rasanya percaturan yang sedang dimainkan ini. Bila melayu memberontak menuntut hak mereka, dikatakan melayu tak sedar diri. Walhal siapa yang tak sedar diri sebenarnya?

Pemimpin melayu sekarang berlumba-lumba jadi pemimpin kerana mengejar wang dan nama, bukannya peluang untuk memperjuangkan nasib Melayu. Teringat kata-kata seorang panel semasa aku menghadiri Simposium Dilema Melayu Sabtu yang lepas, tidak perlu rasanya untuk aku sebutkan siapa panel berkenaan, memang tepat waktunya aku mengikuti program tersebut pada waktu-waktu seperti ini. ''Industri buku (percetakan) melayu tak banyak macam industri ayam daging di Malaysia ini. Mentaliti orang Melayu lemah. Tak sehebat dulu, Melayu tak boleh nak sokong industri sendiri jika dibandingkan dengan industri kaum-kaum yang lain.''  Mengulas penyataan ahli panel berkenaan berdasarkan pendapat aku sebagai rakyat dan kaum Melayu sendiri, Melayu buruk makan buruk perangainya. Industri percetakan yang tak seberapa di negara ini tidak mendapat sokongan sepenuhnya dari orang Melayu, sedangkan Melayu adalah penduduk majoriti. Mana perginya Melayu? Bila kaum lain bersatu menentang, Melayu cepat melatah. Jadi kenapa Melayu sendiri begitu sukar untuk bersatu, mengapa perlu terus mementingkan diri sendiri iabarat enau di dalam belukar melepaskan pucuck masing-masing? Kita sepatutnya menyokong di antara satu sama lain tapi janganlah pula benda yang terang-terang salah lagi bersuluh pun kalian menghalalkannya. Mana perginya jati diri dan pendirian teguh Melayu kalian jika itu berlaku? Melayu terlalu mudah dibeli dengan wang ringgit, harta dan nama. Bila kemewahan mengaburi mata maka pihak-pihak tertentu pun mula mengambil kesempatan.Tak akan Melayu hilang di dunia, itu kata Hang Tuah, memang Melayu tak akan hilang tetapi kita sendiri yang menentukan siapa kita sebagai bangsa Melayu pada masa hadapan. Fikirkan dan renung-renungkanlah sejenak.....Dilema Melayu, Dilema Mahasiswa.


>>Golongan mahasiswa, pemuda-pemudi harapan bangsa, janganlah kalian alpa dengan keseronokan sahaja. Fikirkan tentang masa depan kalian juga, lihatlah & nilai siapakah yang selayaknya dipanggil pemimpin. Hancur sekarang, hancur juga masa depan anak cucu kita. Bak kata orang, nak melihat masa depan sesebuah negara itu, lihatlah pada warga belianya. Teruskan menjaga adab & tatasusila kita sebagai belia Malaysia. Jalankan tugas anda sebagai rakyat Malaysia, kalian bukan lagi kanak-kanak sekolah!

No comments: