Bunyi derap kaki kian hilang dibawa angin lalu, fikiran menerawang entah ke mana. Deretan demi deretan kedai kaki itu lalui tanpa rasa penat. Akhirnya, sampai juga kaki itu di tempat parkir kereta yang tidak jauh dari deretan kedai yang Nadhirah lalui tadi. Bayangan Nadhirah hilang setelah memasuki perut kereta Kia Spectra yang dimiliki hasil titik peluhnya sendiri. Nadhirah masih termenung di dalam kereta sedangkan enjin kereta sedannya telah pun dihidupkan. Bising enjin kereta tidak kedengaran lagi, fikiran Nadhirah masih terbayangkan pertemuan yang tak dijangkanya sebentar tadi sewaktu makan tengah hari.
“Kenapa dia tiba-tiba muncul balik?” jauh di benak fikirannya berkata-kata. Nadhirah benar-benar tidak menyangka yang dia akan bertemu kembali dengan Syahir.
* 1 *
Suasana di restoran pada waktu tengah hari cukup sibuk, semestinya pelanggan mereka terdiri daripada pekerja-pekerja pejabat di kawasan sekitar Lembah Klang ini. Nadhirah begitu leka menikmati hidangan tengah harinya, nasi campur berlaukkan ayam masak merah bersama segelas air sirap limau. Mata Nadhirah sesekali tertumpu ke arah pemandangan di luar tingkap restoran memerhatikan gelagat orang ramai. Kebetulan dia menghadiri mesyuarat di kawasan sekitar lalu singgah sebentar untuk menjamu selera sebelum balik semula ke pejabat.
“Hai, Nadhirah ke ni?” tiba-tiba ada suara garau lelaki yang menegurnya.
Nadhirah yang sedang makan hampir tersedak kerana terkejut diterjah seperti itu. “Hish, ingat aku ni artis ke nak main terjah-terjah macam ni. Tak boleh la tengok orang senang sikit nak makan,” gumam hati Nadhirah. Dia dapat melihat ada bayangan seseorang di hadapan mejanya. Nadhirah seakan-akan kenal dengan bau manusia di hadapannya itu tetapi dia tidak pasti siapa pemiliknya, dia yakin kenal benar akan bau itu. Nadhirah mendongakkan kepalanya. “Syahir?”
“Eh,hai…tak sangka ya kita jumpa dekat sini.” Nadhirah cuba menjadi mesra padahal hatinya bukan kepalang lagi sakitnya diruntun pilu tatkala bertemu semula dengan jejaka bernama Syahir ini.
“I pun tak sangka dapat jumpa you. Finally, lepas bertahun-tahun kita berpisah dapat juga kita jumpa balik. You look really different now, you look nice,” Syahir menghadiahkan seulas senyuman kepada Nadhirah. Senyuman itu sudah biasa benar dilihat oleh Nadhirah, masih seperti dulu. Syahir memang seorang yang suka tersenyum. Pada suatu ketika, senyuman itu jugalah yang membuatkan Nadhirah rasa rindu padanya.
Nadhirah tertelan liur mendengar kata-kata dari mulut Syahir, “Erm…Ahahh…Thanks for your compliment.” Pipi merona merah, entah Syahir perasan atau tidak yang sebenarnya Nadhirah mula rasa gelisah dan kurang selesa dengan pertemuan yang tak dijangka ini. “You datang nak makan ke? Hmm, meh la join I makan sekali…” Nadhirah sekadar ajak-ajak ayam.
“Hehehe…tak apalah, thanks for your invite. Actually I baru je lepas makan ni, sekarang nak balik pergi sambung kerja.” Syahir memandang sekilas makanan di pinggan Nadhirah. “You masih tak berubah kan? Masih macam dulu, tak suka sayur,” Syahir tersenyum sinis kali ini. Fahamlah Nadhirah akan maksudnya itu, mereka mempunyai persamaan iaitu tidak suka makan sayur.
“Okaylah, Nadhirah. I beransur dulu nanti bising pula my bos cari I tak jumpa. Anyway, this is my new number, hope that we can still click together macam dulu balik. Happy to see you again,” sekeping kad nama dihulurkan kepada Nadhirah sambil mata kecilnya dikenyitkan. “Bubye Nadhirah and take care.”
Terdiam dan terpaku, itulah ekspresi yang dapat digambarkan oleh Nadhirah. Kad nama dari Syahir ditenung lama lalu dimasukkan ke dalam tas tangannya. Air sirap limau diteguk hingga habis.
Hilang seleranya untuk sambung makan. Bingkas, Nadhirah bangun ke kaunter membuat pembayaran lalu dia beredar dari restoran itu.
* 2 *
“PIN!!! PIN!!!” jerkahan hon kereta yang sedang berlalu di belakang menghentikan lamunan Nadhirah. Dia memandang sekilas cermin sisi keretanya lalu memasukkan gear dan pedal minyak ditekan meninggalkan tempat parkir keretanya. Deruman kereta tidak henti-henti memotong Kia Spectra yang satu ini. Nadhirah mamandu perlahan keretanya dengan berhati-hati di lorong kiri lebuh raya. Fikirannya masih diawangan.
Lebih kurang enam tahun yang dahulu, semasa Nadhirah berada dalam semester kedua di pengajian tahun pertamanya, dia telah ditemukan dengan Syahir oleh temannya sendiri. Tidak disangka pada pertemuan pertama itu, Syahir memerhatikan segala tingkah lakunya. Padahal waktu itu, Syahir diam seribu bahasa, sepatah ditanya sepatah jugalah yang dijawab. Syahir seorang yang sangat pendiam dan pemalu orangnya, itu yang didengar oleh Nadhirah daripada temannya, Ziela. Dari kaca mata Nadhirah, Syahir mempunyai kelebihan yang tersendiri. Apalah sangat rupa jika hendak dibandingkan dengan budi pekerti yang cuba ditonjolkan. Nadhirah akui dia memang tertarik dengan Syahir, dari aspek fizikal mahupun karektornya.
“Hmm, apa pandangan kau bila dah jumpa Syahir? Mana ok? Boyfriend aku si Haikal tu ataupun Syahir?” soal Ziela selepas kami turun dari kereta Syahir di hadapan pagar kolej pada malam itu. Nadhirah tersenyum sendiri sambil menggelengkan kepalanya.
“Ziela…Ziela…awak tu dah ada boyfriend sorang cukuplah. Jangan tamak. Hehehe…aku tengok Syahir tu ok je, tak adalah teruk sangat tapi pelek ya, kenapa awek dia tinggalkan lelaki baik macam tu?”
“Awek dia dulu tu bodoh. Syahir tu punyalah baik tak pandai nak cari awek lain, kawan pun tak ramai, kaya pula tu. Aku rasa may be bagi ex dia, Syahir tu tak cukup sempurna kot. Kau pun faham-fahamlah dah selalu dengar cerita dari aku dan sekarang kau pun dah jumpa dia face to face.” Ziela terus bercerita sambil kaki mereka mengorak langkah menyusuri anak tangga untuk naik ke bilik masing-masing.
Pada malam itu juga, Ziela terus berbual dengan Syahir melalui SMS. Ziela ada memberitahu Nadhirah bahawa Syahir berminat untuk mengenalinya dengan lebih dekat. Tak diduga, pada keesokan paginya, Nadhirah telah dikejutkan oleh SMS dari Syahir. Perkenalan mereka pun bermula, rupa-rupanya mereka berdua mempunyai banyak persamaan, dua-dua tidak suka makan sayur dan sos malahan mereka menyukai warna yang sama. Pesanan demi pesana dikirimkan, perkenalan Nadhirah dan Syahir bukan itu sahaja. Pertemuan kedua telah diatur, selepas tamat peperiksaan akhir semester, Nadhirah telah bersetuju untuk keluar berdua bersama Syahir untuk menonton wayang. Tatkala berdua-duaan berjalan bersama, terasa serasi bersama. Masing-masing malu dan tersenyum pabila mata bertentang mata.
Seminggu selepas pertemuan kedua, Syahir dengan beraninya menyatakan hasratnya kepada Nadhirah. Bukan kepalang lagi gembiranya, hati siapa yang tidak bahagia? Hati siapa yang tidak gembira? Apabila seorang teruna ingin berpacaran dengan si dara. Walaupun ada sedikit kemusykilan dengan keputusan Syahir yang terburu-buru, Nadhirah sedia menerima dirinya. Nadhirah pernah berjanji pada dirinya, siapa pun lelaki yang hadir dalam hidupnya dan ikhlas untuk menerima dirinya, Nadhirah sedia untuk menerima lelaki tersebut.
Lumrah kehidupan seorang anak gadis semestinya agak payah untuk keluar bersama teman-teman. Apakan daya, dek kerana perasaan rindu, Nadhirah sanggup membuat helah untuk keluar berjumpa dengan Syahir. Pertemuan kali ini tidak seperti dahulunya, Syahir lebih pendiam. Entah mengapa bibir membeku lidah terkelu, sepanjang perjalanan di dalam kereta, mereka berdua diam sahaja. Suasana di dalam kereta mewah Syahir begitu dingin sekali. Nadhirah dapat merasakan kelainan sifat Syahir pada hari tersebut, Syahir memandu lebih laju dari biasa. “Marahkah dia padaku?” gumam hati Nadhirah. Sesekali Nadhirah cuba memandang Syahir di kerusi pemandu.
‘Sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari’, layanan Syahir terhadap Nadhirah kian berubah, perbualan mereka tidak lagi sehangat dahulu. Adakah kerana Syahir telah berubah hati selepas pertemuan mereka yang lepas? Mungkinkah Syahir rasa menyesal kerana memilih Nadhirah sebagai kekasih? Suatu hari, tiba-tiba sahaja Syahir memutuskan supaya mereka seeloknya hanya menjadi kawan.
“Kenapa?” soal Nadhirah yang tidak puas hati dengan keputusan Syahir.
“Entahlah…I tak ada rasa….macam cinta,” begitu mudah saja Syahir menuturkan kata-kata tanpa mempedulikan hati insan yang baru sahaja dilukainya.
Lama. Lama benar Nadhirah mendiamkan diri, mungkin sukar untuk dia memahami keadaan ini. Hubungan indah yang baru dilaluinya, dalam sekelip mata saja musnah tanpa sebarang bencana yang melanda. Akhirnya, dia mengerti maksud Syahir, mungkin dirinya tidak cukup sempurna di mata Syahir. Dirinya rasa seperti dipermainkan dan ditipu malahan rasa terhina dengan permainan ini. Adakah dirinya merupakan sebahagian daripada permainan hidup Syahir, disayang bila suka, dibuang bila sudah bosan untuk bermain lagi.
Bersambung.......
No comments:
Post a Comment