CC's Customer

Senyuman Semalam


Bunyi derap kaki kian hilang dibawa angin lalu, fikiran menerawang entah ke mana. Deretan demi deretan kedai kaki itu lalui tanpa rasa penat. Akhirnya, sampai juga kaki itu di tempat parkir kereta yang tidak jauh dari deretan kedai yang Nadhirah lalui tadi. Bayangan Nadhirah hilang setelah memasuki perut kereta Kia Spectra yang dimiliki hasil titik peluhnya sendiri. Nadhirah masih termenung di dalam kereta sedangkan enjin kereta sedannya telah pun dihidupkan. Bising enjin kereta tidak kedengaran lagi, fikiran Nadhirah masih terbayangkan pertemuan yang tak dijangkanya sebentar tadi sewaktu makan tengah hari.

          “Kenapa dia tiba-tiba muncul balik?” jauh di benak fikirannya berkata-kata. Nadhirah benar-benar tidak menyangka yang dia akan bertemu kembali dengan Syahir.

*          1         *


          Suasana di restoran pada waktu tengah hari cukup sibuk, semestinya pelanggan mereka terdiri daripada pekerja-pekerja pejabat di kawasan sekitar Lembah Klang ini. Nadhirah begitu leka menikmati hidangan tengah harinya, nasi campur berlaukkan ayam masak merah bersama segelas air sirap limau. Mata Nadhirah sesekali tertumpu ke arah pemandangan di luar tingkap restoran memerhatikan gelagat orang ramai. Kebetulan dia menghadiri mesyuarat di kawasan sekitar lalu singgah sebentar untuk menjamu selera sebelum balik semula ke pejabat.

          “Hai, Nadhirah ke ni?” tiba-tiba ada suara garau lelaki yang menegurnya.

          Nadhirah yang sedang makan hampir tersedak kerana terkejut diterjah seperti itu. “Hish, ingat aku ni artis ke nak main terjah-terjah macam ni. Tak boleh la tengok orang senang sikit nak makan,” gumam hati Nadhirah. Dia dapat melihat ada bayangan seseorang di hadapan mejanya. Nadhirah seakan-akan kenal dengan bau manusia di hadapannya itu tetapi dia tidak pasti siapa pemiliknya, dia yakin kenal benar akan bau itu. Nadhirah mendongakkan kepalanya. “Syahir?”

          “Eh,hai…tak sangka ya kita jumpa dekat sini.” Nadhirah cuba menjadi mesra padahal hatinya bukan kepalang lagi sakitnya diruntun pilu tatkala bertemu semula dengan jejaka bernama Syahir ini.
    
      “I pun tak sangka dapat jumpa you. Finally, lepas bertahun-tahun kita berpisah dapat juga kita jumpa balik. You look really different now, you look nice,” Syahir menghadiahkan seulas senyuman kepada Nadhirah. Senyuman itu sudah biasa benar dilihat oleh Nadhirah, masih seperti dulu. Syahir memang seorang yang suka tersenyum. Pada suatu ketika, senyuman itu jugalah yang membuatkan Nadhirah rasa rindu padanya.
      
    Nadhirah tertelan liur mendengar kata-kata dari mulut Syahir, “Erm…Ahahh…Thanks for your compliment.” Pipi merona merah, entah Syahir perasan atau tidak yang sebenarnya Nadhirah mula rasa gelisah dan kurang selesa dengan pertemuan yang tak dijangka ini. “You datang nak makan ke? Hmm, meh la join I makan sekali…” Nadhirah sekadar ajak-ajak ayam.

          “Hehehe…tak apalah, thanks for your invite. Actually I baru je lepas makan ni, sekarang nak balik pergi sambung kerja.” Syahir memandang sekilas makanan di pinggan Nadhirah. “You masih tak berubah kan? Masih macam dulu, tak suka sayur,” Syahir tersenyum sinis kali ini. Fahamlah Nadhirah akan maksudnya itu, mereka mempunyai persamaan iaitu tidak suka makan sayur.

          “Okaylah, Nadhirah. I beransur dulu nanti bising pula my bos cari I tak jumpa. Anyway, this is my new number, hope that we can still click together macam dulu balik. Happy to see you again,” sekeping kad nama dihulurkan kepada Nadhirah sambil mata kecilnya dikenyitkan. “Bubye Nadhirah and take care.”

          Terdiam dan terpaku, itulah ekspresi yang dapat digambarkan oleh Nadhirah. Kad nama dari Syahir ditenung lama lalu dimasukkan ke dalam tas tangannya. Air sirap limau diteguk hingga habis. Hilang seleranya untuk sambung makan. Bingkas, Nadhirah bangun ke kaunter membuat pembayaran lalu dia beredar dari restoran itu.

*          2         *


PIN!!! PIN!!!” jerkahan hon kereta yang sedang berlalu di belakang menghentikan lamunan Nadhirah. Dia memandang sekilas cermin sisi keretanya lalu memasukkan gear dan pedal minyak ditekan meninggalkan tempat parkir keretanya. Deruman kereta tidak henti-henti memotong Kia Spectra yang satu ini. Nadhirah mamandu perlahan keretanya dengan berhati-hati di lorong kiri lebuh raya. Fikirannya masih diawangan.

Lebih kurang enam tahun yang dahulu, semasa Nadhirah berada dalam semester kedua di pengajian tahun pertamanya, dia telah ditemukan dengan Syahir oleh temannya sendiri. Tidak disangka pada pertemuan pertama itu, Syahir memerhatikan segala tingkah lakunya. Padahal waktu itu, Syahir diam seribu bahasa, sepatah ditanya sepatah jugalah yang dijawab. Syahir seorang yang sangat pendiam dan pemalu orangnya, itu yang didengar oleh Nadhirah daripada temannya, Ziela. Dari kaca mata Nadhirah, Syahir mempunyai kelebihan yang tersendiri. Apalah sangat rupa jika hendak dibandingkan dengan budi pekerti yang cuba ditonjolkan. Nadhirah akui dia memang tertarik dengan Syahir, dari aspek fizikal mahupun karektornya.
     
     “Hmm, apa pandangan kau bila dah jumpa Syahir? Mana ok? Boyfriend aku si Haikal tu ataupun Syahir?” soal Ziela selepas kami turun dari kereta Syahir di hadapan pagar kolej pada malam itu. Nadhirah tersenyum sendiri sambil menggelengkan kepalanya.

          “Ziela…Ziela…awak tu dah ada boyfriend sorang cukuplah. Jangan tamak. Hehehe…aku tengok Syahir tu ok je, tak adalah teruk sangat tapi pelek ya, kenapa awek dia tinggalkan lelaki baik macam tu?”

          “Awek dia dulu tu bodoh. Syahir tu punyalah baik tak pandai nak cari awek lain, kawan pun tak ramai, kaya pula tu. Aku rasa may be bagi ex dia, Syahir tu tak cukup sempurna kot. Kau pun faham-fahamlah dah selalu dengar cerita dari aku dan sekarang kau pun dah jumpa dia face to face.” Ziela terus bercerita sambil kaki mereka mengorak langkah menyusuri anak tangga untuk naik ke bilik masing-masing.

          Pada malam itu juga, Ziela terus berbual dengan Syahir melalui SMS. Ziela ada memberitahu Nadhirah bahawa Syahir berminat untuk mengenalinya dengan lebih dekat. Tak diduga, pada keesokan paginya, Nadhirah telah dikejutkan oleh SMS dari Syahir. Perkenalan mereka pun bermula, rupa-rupanya mereka berdua mempunyai banyak persamaan, dua-dua tidak suka makan sayur dan sos malahan mereka menyukai warna yang sama. Pesanan demi pesana dikirimkan, perkenalan Nadhirah dan Syahir bukan itu sahaja. Pertemuan kedua telah diatur, selepas tamat peperiksaan akhir semester, Nadhirah telah bersetuju untuk keluar berdua bersama Syahir untuk menonton wayang. Tatkala berdua-duaan berjalan bersama, terasa serasi bersama. Masing-masing malu dan tersenyum pabila mata bertentang mata.

          Seminggu selepas pertemuan kedua, Syahir dengan beraninya menyatakan hasratnya kepada Nadhirah. Bukan kepalang lagi gembiranya, hati siapa yang tidak bahagia? Hati siapa yang tidak gembira? Apabila seorang teruna ingin berpacaran dengan si dara. Walaupun ada sedikit kemusykilan dengan keputusan Syahir yang terburu-buru, Nadhirah sedia menerima dirinya. Nadhirah pernah berjanji pada dirinya, siapa pun lelaki yang hadir dalam hidupnya dan ikhlas untuk menerima dirinya, Nadhirah sedia untuk menerima lelaki tersebut.

          Lumrah kehidupan seorang anak gadis semestinya agak payah untuk keluar bersama teman-teman. Apakan daya, dek kerana perasaan rindu, Nadhirah sanggup membuat helah untuk keluar berjumpa dengan Syahir. Pertemuan kali ini tidak seperti dahulunya, Syahir lebih pendiam. Entah mengapa bibir membeku lidah terkelu, sepanjang perjalanan di dalam kereta, mereka berdua diam sahaja. Suasana di dalam kereta mewah Syahir begitu dingin sekali. Nadhirah dapat merasakan kelainan sifat Syahir pada hari tersebut, Syahir memandu lebih laju dari biasa. “Marahkah dia padaku?” gumam hati Nadhirah. Sesekali Nadhirah cuba memandang Syahir di kerusi pemandu.

          ‘Sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari’, layanan Syahir terhadap Nadhirah kian berubah, perbualan mereka tidak lagi sehangat dahulu. Adakah kerana Syahir telah berubah hati selepas pertemuan mereka yang lepas? Mungkinkah Syahir rasa menyesal kerana memilih Nadhirah sebagai kekasih? Suatu hari, tiba-tiba sahaja Syahir memutuskan supaya mereka seeloknya hanya menjadi kawan.

          “Kenapa?” soal Nadhirah yang tidak puas hati dengan keputusan Syahir.

       “Entahlah…I tak ada rasa….macam cinta,” begitu mudah saja Syahir menuturkan kata-kata tanpa mempedulikan hati insan yang baru sahaja dilukainya.

          Lama. Lama benar Nadhirah mendiamkan diri, mungkin sukar untuk dia memahami keadaan ini. Hubungan indah yang baru dilaluinya, dalam sekelip mata saja musnah tanpa sebarang bencana yang melanda. Akhirnya, dia mengerti maksud Syahir, mungkin dirinya tidak cukup sempurna di mata Syahir. Dirinya rasa seperti dipermainkan dan ditipu malahan rasa terhina dengan permainan ini. Adakah dirinya merupakan sebahagian daripada permainan hidup Syahir, disayang bila suka, dibuang bila sudah bosan untuk bermain lagi.

*          3         *


          Air mata lesu yang mengalir di pipi tanpa disedari diseka ke tepi. Mata Nadirah sedikit merah dan bengkak. Alunan lagu “cinta itu membunuhku” dari radio terus berkumandang, dia masih meneruskan pemanduannya untuk pulang ke pejabat.

          “Kenapa kau muncul lagi Syahir? Sedang aku leka dengan pencapaian aku dan kehidupan aku sekarang, kenapa kau harus muncul kembali? Tak bolehkah kau biarkan aku hidup sendiri tanpa perlu mengenangkan segalanya yang telah terjadi antara kita berdua? Aku tak pernah mengharapkan pertemuan yang tak dijangka ini, seboleh-bolehnya aku nak elakkan diri aku daripada berjumpa dengan kau. Aku segan, aku malu dengan diri aku sendiri. Kenapa aku begitu bodoh untuk percayakan kau dulu? Aku ingat kau betul-betul ikhlas dengan perasaan itu dulu, rupa-rupanya tidak. Aku kesal dengan kau. Kerana kau, aku jadi benci pada perasaan cinta ini. Maaf, mungkin aku bukan yang terbaik untuk kau. Aku faham aku tak macam perempuan-perempuan lain kat luar sana, mungkin cara aku membuatkan kau bosan. Maafkan aku Syahir kerana muncul dalam hidup kau tanpa diundang,” luahan hati Nadhirah sepanjang perjalanannya.

*          4         *


Lamunan Nadhirah terhenti seketika. Telefon bimbitnya berbunyi, dia meraba-raba untuk mendapatkan telefon tersebut di atas katil, dia menerima SMS dari Faizal.

          “Hai, u tgh wat ape? Boringlah…jom keluar?” itu adalah pesanan yang diterimanya. Tanpa berfikir panjang jari-jemari Nadhirah lincah sahaja membalas pesanan tersebut.

          “Ok. Kita jumpa 1 jam lagi dekat tempat biasa. =)

          Sepasang jeans hitam disarungkan dan dipadankan dengan cardigan berjenama Adidas. Kunci kereta dan slingbag di tepi meja soleknya dicapai lalu pergi. Perkenalan yang tak disengajakan dengan Faizal tidak menghampakan, Faizal boleh dianggap sebagai seorang abang yang prihatin dan baik hati walhal mereka bukanlah adik-beradik kandung. Sikap Faizal cukup disenangi oleh Nadhirah. Saban hari, lelaki itulah yang menemaninya tatkala dia kesunyian, lelaki itu juga yang sering memberikan semangat dan nasihat kepadanya.

          Dari jauh Nadhirah sudah dapat melihat susuk tubuh kurus dan tinggi Faizal yang sedang menebeng melihat orang ramai bermain ice skating di ruang bawah Sunway Pyramid itu. Rambut lurus paras bahu Faizal dibiarkan lepas, dia begitu khusyuk sekali tanpa menyedari kehadiran Nadhirah di belakangnya.

          Satu tepukan kuat singgah di bahu Faizal. “Hah! Kantoi…You usha siapa kat bawah tu hah?” sergah Nadhirah sambil terkekeh-kekeh ketawa.

          “Hish, buat terkejut orang je budak ni. Datang bukan nak bagi salam ke pape. Tegurlah elok-elok sikit.” Nadhirah masih tidak henti-henti tertawa melihat rupa terkejut Faizal.

          “Adoi, sorrylah bro. I saja je…tengok you khusyuk sangat, ingatkan you tengah usha awek mana tadi. Hehehehe!”

          “Awek yang ada kat depan I ni pun tak puas nak usha lagi. Hahaha…ni kenapa lambat? Janji dengan I tadi 1 jam je tapi dah lebih setengah jam I tunggu kat sini dari waktu yang dijanjikan,” Faizal memusingkan badannya menghadap Nadhirah.

          “Well, macam tak tau pula jalan nak datang sini selalu jam dekat atas jambatan tu. Bukan salah I ok,” jawab Nadhirah dengan muka slumber.

          “You memang. Setiap kali lambat mesti ada je alasan tapi tak pernah nak mengaku salah, kan?” Faizal mencuit lengan Nadhirah. “Jom makan? Lepas tu kita pergi tengok movie, I dah beli tiket. You tak kerja kan esok?” sambung Faizal lagi.

          “What?! Tengok movie? Alah, balik lambat la macam ni,” Nadhirah merungut. “Erm, anyway kita nak tengok cerita apa nanti? Hehehe..Bolehlah I bangun lambat esok,” tambahnya sambil berjalan rapat dengan Faizal menuju ke escalator.

          “Hish, buruknya perangai budak ni. Hahaha…ada lah… Sshhhh! It’s a secret,” Faizal memandang Nadhirah sekilas lalu dia merapatkan jari telunjuknya pada bibir sambil mengenyitkan mata.

*          5         *


          Mereka berdua memilih untuk makan di TGI Friday’s pada malam itu. Tidak banyak yang mereka bualkan, Nadhirah masih terbawa-bawa kisahnya dengan Syahir tengah hari semalam. Sayur yang disertakan bersama chickens chop dikuis-kuisnya. Faizal sedari tadi memerhatikan sikap pelek Nadhirah pada malam itu, biasanya Nadhirah begitu berselera menghabiskan hidangan chicken chop kegemarannya. Sayur salad yang ada akan segera dialihkan ke pinggan Faizal.

          “Nadhirah, you ok ke ni? Kenapa main-main dengan sayur tu, kalau tak nak meh la I yang makan sayur tu. Dari tadi I tengok you asyik termenung je. Ada masalah ke?” suara Faizal memecahkan kesunyian suasana makan mereka berdua.

          “Hahh??! Arrrr…yup, I’m ok. Don’t worry,” Nadhirah tersedar dari lamunan. Pisau dan garfu diletakkan lalu mencapai air untuk diminum.

          “Betul ni? Kalau ada masalah cerita je lah, I sudi dengar. What’s a friend for, right?” soal Faizal yang seakan-akam risau.

          “Betul. I’m ok. Hmm, you tak pergi jamming dengan kawan-kawan you ke malam ni?”

          “Aik, kita risaukan dia, boleh pula dia tanya kita balik? Malaslah nak pergi jamming, malam ni I nak spend time dengan you pula. Lagipun penatlah buat design untuk projek baru minngu ni, dateline dah dekat. Kalau I asyik pergi jamming, bila masa nak siap,” jelas Faizal. Tugasnya sebagai pereka seni dalaman tidak menghalang minatnya dalam bidang muzik. Pengalamannya melanjutkan pelajaran di Jepun dalam bidang bidang muzik suatu masa dulu tidak disia-siakan walaupun dia telah memiliki penguasaan dalam bidang seni reka untuk menjamin masa depannya.

          “Oh, then you keluar hang out dengan I ni tak apa pula? Nanti bila nak siap design you tu…”

          “Hehehe…keluar dengan you tak apa. Alah, bukan selalu pun kita keluar macam ni, you kan asyik sibuk je dengan kerja,” Faizal menyuapkan potongan ayam ke dalam mulutnya.

          “And you pun busy buat design banyak-banyak untuk client. Yeah, we both busy workaholic,” Nadhirah melemparkan senyuman kepada Faizal sebelum menyedut air di dalam gelas. Nadhirah tersedak apabila dia terpandang seseorang melambaikan tangan ke arahnya dari meja yang tidak jauh dari tempat mereka duduk.

          “Hey, carefull lah sikit minum tu. Tengok dah tersedak,” Faizal memerli Nadhirah.

          “Dah carefull lah ni…What the…??? Kenapa dia ada dekat sini juga?” tanpa Nadhirah sedari, dia telah menghentakkan gelas ke atas meja dengan agak kuat.

          “What? Siapa yang ada dekat sini?” Faizal menoleh ke belakang mencari-cari jika ada bayangan orang yang dikenali tetapi tiada siapa yang dikenalinya di situ. “Siapa?” soal Faizal.

          “You tak kenal orang tu so tak payah you nak pusing belakang tengok.”

          “Yelah, siapa dia? Sampai you tersedak muka cuak macam baru nampak hantu.”

          “Memang hantu pun. ‘Ghost of my ex boyfriend’, baru jumpa dia balik semalam. Sakit semalam pun tak hilang lagi, dia dah muncul lagi depan I sekarang ni,” ujar Nadhirah pada Faizal. Mata Nadhirah kini hanya ditumpukan pada pinggan di atas meja, dia takot untuk memandang Faizal di hadapannya, bukan Faizal tetapi Syahir yang duduk selari selang beberapa meja di belakang Faizal.

          “Ahah, sakit hati rupa-rupanya. No wonderlah orang tu nampak blurr je malam ni, asyik termenung je tadi. Hehehe…which one is it? Biar I pergi sound dia,” usik Faizal sambil tersengih.

          “Eh, tak payahlah, biar je dia. Seems like he with someone over there. Tu hah, yang pakai kemeja stripe warna hitam. You jangan pandang dia sekarang, nanti dia perasan you tengok dia.”

          “Dengan someone? Girlfriend baru dia kot…tapi ada hati nak ngorat you balik. Hehehe…Actually what happen between you two? U tak pernah pun cerita dekat I pasal ni.”

          “Kisah lama, masa tu you dekat Jepun. Nanti-nantilah I cerita ok? Jom kita pergi.” Nadhirah mencapai tisu untuk mengelap mulutnya.

*          6         *


          Melihat Nadhirah berdua-duaan dengan lelaki lain cukup menyakitkan hati Syahir. Pertemuannya dengan Nadhirah semula di restoran tempoh hari cukup membuatkan dia rasa bahagia, mungkin itu satu petanda untuk dia mendekati Nadhirah kembali dan menebus kesilapannya. Hati yang baru mula berbunga kembali menjadi layu apabila melihat kemesraan Nadhirah bersama lelaki lain sebentar tadi. Disangkakan teman biasa tetapi kemesraan yang dipamerkan telah menyangkal hipotesisnya.

          Berjalan bersama sambil tersenyum riang dan hilai tawa Nadhirah bersama lelaki itu masih terngiang-ngiang di telinga. Apatah lagi sepasang mata yang melihat kegembiraan seseorang yang istimewa untuk diri Syahir pada suatu ketika dulu. Syahir yang asyik memandang gerak geri Nadhirah langsung Nadhirah tidak menghiraukannya. Syahir tahu Nadhirah enggan memandang ke arahnya malahan lambaian dan senyumannya sebentar tadi juga tidak berbalas malahan dipandang sepi. Syahir hanya dapat membiarkan Nadhirah berlalu pergi melalui mejanya bersama seorang lelaki yang tidak dikenali. Lelaki itu juga kelihatan cukup mesra dengan Nadhirah. Siapa sangka api cemburu mula menyala-nyala di mata Syahir.

          “Adik pandang siapa tu? Kenal ke perempuan yang jalan dengan lelaki rambut panjang tu?” suara kak Ngah telah membawa kembali Syahir ke alam realiti. Kak Ngah duduk kembali sambil membetulkan bajunya.

          “Hah? Apa dia kak?” Syahir kelihatan terpinga-pinga.

          “Lah mengelamun ke adik akak ni tadi? Akak tanya pun dah tak dengar, parah ni. Adik pandang siapa tadi? Akak tengok adik pandang orang tu tak sudah-sudah dari tadi, kenal ke?”

          “Oh, tak ada apa-apalah kak Ngah,” Syahir cuba menafikannya. Dia tidak mahu kak Ngah tahu akan kisah cinta zaman remajanya dahulu.

          “Dik, akak kenal adik bukan baru setahun dua tau. Sejak adik lahir lagi akak dah kenal adik, tolong mak jaga adik. Akak kenal adik akak, ni macam ada sesuatu je yang adik nak sorok dari akak. Girlfriend adik ke tadi tu? Jealous ek dia keluar dengan lelaki lain?”

          “Eh, mana ada. Bukan girlfriend adik lah,” Syahir masih cuba menyangkal dakwaan kakaknya.

          “Tengok tu, masih nak tipu akak. Syahir, cakaplah siapa perempuan tadi tu?” kak Ngah merenung anak mata Syahir tajam. Syahir menjadi tidak keruan dan dia rasa bersalah untuk terus merahsiakan hal tersebut di lubuk hatinya.

          “Yup, she used to be my girl once upon a time dulu,” cukup dengan sebaris ayat penyata untuk kak Ngah.

          “Serious? Adik tak pernah pun cerita kat akak pasal girlfriend adik yang ni. Kak Ngah kenal your first girlfriend je dulu and I don’t really like her. Hehehe…then apa jadi dekat girlfriend yang tadi ni? Kenapa you all dah tak together?”

          “Cerita lama lah kak. Adik yang decide untuk putus dengan dia dulu. Tak tahu kenapa, mula-mula adik ada perassan tu dekat dia but somewhere in the middle, adik dah tak ada rasa macam cinta dekat dia. Jadi, itulah sebabnya kitorang break up. Nak stick jadi kawan pun, adik rasa serba salah sebab dah buat dia macam tu,” jelas Syahir panjang lebar.

          “Kesiannya dia….sampai hati adik buat dia macam tu. Kenapa? Dia ada buat jahat dekat adik ke? Or there is something that you don’t like about her? Anyway, siapa nama dia?”

          “Nama dia Nadhirah. Tak…dia tak jahat pun. She is a nice girl that I ever met. Adik suka dia sebab dia pandai berdikari, have a simple life and she happy with what she is. Even orang lain kata dia garang tapi adik tahu dia baik hati sebenarnya, tak ada lah garang mana pun.”

          “Hurmm, seems like you really like her. Sayang adik dah break dengan dia, kalau tak boleh jadikan calon adik ipar untuk kak Ngah. Hehehe!”

          “Ish, ke situ pula akak ni. Tapi dia dah ada orang baru, macam mana nak jadi calon adik ipar akak,” satu keluhan berat dilepaskan.

          “Aik, hampa je bunyinya. Are you sure that is her new one? Hei, belum cuba belum tahu. Kalau adik masih sukakan dia, apa salahnya untuk cuba menangi hati dia balik. Manusia tak pernah lepas dari melakukan kesilapan,” ujar kak Ngah dalam nada memujuk syahir.

*          7         *


          Kawasan tempat letak kereta di tingkat atas Sunway Pyramid sepi sekali. Hanya beberapa buah kereta sahaja yang masih tinggal. Faizal jalan beriringan menemani Nadhirah ke keretanya. Kedua-dua belah tangan Faizal diseluk ke dalam poket seluar sambil bersiul. Nadhirah masih diam sejak keluar dari panggung wayang. Jam tangan di tangan dikerling sekejap, Nadhirah memandang Faizal.

          “Happy nampak,” tegur Nadhirah dengan bersahaja.

          “Eh, baru lepas tengok movie dengan someone, mestilah happy. Hahaha…ni tak apa ke you drive sendiri balik dah lewat?” ada nada mengusik yang cuba ditampilkan oleh Faizal.

          “Tak apa, I dah biasa. Pandai-pandailah I jaga diri. Faizal, I ni bukan kecik lagi so don’t worry.”

          “Sebab bukan keciklah yang I risau sangat. You tu anak dara orang, nanti kalau apa-apa terjadi, I juga yang susah cause kena bertanggungjawab dah ajak you keluar malam ni,” sengaja perkataan ‘kecilk’ ditekankan nadanya.

          “Banyaklah you punya songeh! Mulut tu main cakap je, doalah benda yang baik-baik sikit so that I akan sampai rumah dengan selamat ke….”

          “Hehehe…I cakap benda yang betul, risau juga nak biarkan you balik sendiri ni. Lagipun, you sure you ok ni? I bukan apa, risau tengok keadaan you ni, dengan emosi you yang tak berapa nak stabil macam ni. Nanti kat tengah-tengah jalan you mengelamun pula.” Faizal bersandar pada pintu kereta Nadhirah, dia cuba menghalang Nadhirah membuka pintu kereta tersebut. “I hantar you balik? Ok? Kalau you tak nak pun, biar I follow you dari belakang boleh?” sambung Faizal. Dia begitu risau terhadap Nadhirah.

          “Thanks Faizal. You ni caring betul. It’s ok I will be fine,” Nadhirah menolak pelawaan itu sambil tersenyum.

          “Pleasa….I follow you dari belakang,ok? Lepas you dah sampai betul-betul depan rumah, I pun balik lah. I just want to ensure you selamat sampai, manalah tahu your ex tiba-tiba ikut you balik. Hehehe!”

          “Choy! Janganlah cakap macam tu. Ok, you boleh hantar I balik, tapi just follow kat belakang.”

          “Nadhirah, you just sabar ok. Mungkin Tuhan nak uji you dengan dia. Kalau you rindukan dia, just try contact dia balik, dia ada bagi kad kan? Berpisah tak bermakna you all kena bermusuh, I tengok dia masa makan tadi nampak baik je. Dia macam nak berbaik balik dengan you. Cik Nadhirah dekat depan I ni je yang jual mahal sangat. Hahaha!”

          “Hei, bukan jual mahallah! Tapi…..entahlah. I pun tak tahu kenapa bila I jumpa balik dengan dia, I rasa sakit hati, sedih pun ada. Rasa macam tak nak jumpa dia dah. You pun dah tahukan cerita I dengan dia….” Nadhirah mengeluh, pandangan kosongnya dilemparkan pada lantai.

          “Yup, you dah cerita semuanya. I faham.”

          Kepekatan malam tidak lagi terasa di tengah-tengah bandar yang sungguh pesat membangun ini. Cahaya lampu neon menyimbahi seluruh pelusuk bandar di sekitar Lembah Klang. Nadhirah memandu pulang ke rumah dengan begitu cermat sekali, tidak ketinggalan Faizal mengekorinya dari belakang untuk memastikan keselamatannya. “Hmm, baik betul Faizal ni. Sanggup dia drive ikut hantar aku balik,” getus hati Nadhirah. Sesekali matanya memandang cermin pandang belakang, melihat kereta BMW Faizal di belakang keretanya. Untung sungguh Faizal, lahir di dalam sebuah keluarga yang kaya. Tidak perlu lagi bersusah payah sepertinya untuk mencapai apa yang diinginkan.

*          8         *

 
          
          Keadaan di sekitar lobi Hotel JW Marriott Putrajaya tidak dihiraukannya lagi. Nadhirah hanya meluru ke arah pintu lif dalam keadaan yang agak kelam-kabut. Tangan kirinya menjinjing beg laptop manakala tangan kanannya sibuk menyusun dokumen-dokumen untuk projek syarikatnya. Tiba-tiba dia diarahkan untuk menghadiri mesyuarat ini sebagai ganti kepada En. Rafie yang merupakan ketua projeknya. Sebaik sahaja sampai di depan lif, pintu lif baru saja tertutup dan tangan kanan Nadhirah yang sarat dengan dokumen hampir-hampir terkepit oleh pintu lif. “Fuhh, nasib baik sempat!” getus hati Nadhirah apabila pintu lif terbuka semula. Lantas diloloskan diri ke dalam, kepalanya masih ditundukkan tidak memandang sekilas pun orang-orang yang berada di dalam lif.

          Sebaik saja pintu lif terbuka di aras mesyuarat yang bakal dihadiri, Nadhirah terus berlalu keluar. Sehelai kertas telah tercicir dari dokumen yang dibawanya.

          “Excuse me, miss. Cik baju merah!” Langkah yang diatur Nadhirah terhenti, seakan-akan ada seseorang yang sedang memanggilnya. “Suara lelaki? Hmm, siapa pula? Tapi dia tak panggil nama aku, panggil orang lain kot….” Hatinya berbisik.

          “You left this in your way, miss.” Suara lelaki itu di belakangnya sekarang dan sehelai kertas putih telah dihulurkan di tepinya. Nadhirah memandang kertas itu kosong, otaknya seperti terhenti untuk berfungsi seketika. Pandangannya kosong.

“Hey, tak kan day dreaming kot? Cik Nadhirah…..” kini lelaki itu berdiri di hadapannya pula. Lelaki itu melambai-lambaikan kertas tadi di depan wajah kosong milik Nadhirah.

“Eh, kenapa lelaki ni tahu nama aku pula?” Nadhirah masih dalam lamunan kosongnya.

“Hey, Nadhirah! You ok tak ni?” lelaki itu memetik jarinya di wajah Nadhirah dengan harapan Nadhirah akan tersedar dari lamunannya yang entah ke mana. Magic lah konon. Nadhirah tersentak apabila diperlakukan begitu.

“Syahir??!!” mata coklat Nadhirah hampir terbeliak melihat jasad yang ada di depannya kini. Badannya seperti kaku tidak dapat lari dari situasi ini. Dahinya berkerut, kening juga seakan-akan mahu bertembung. Nadhirah kehairanan. “Apa mamat ni buat dekat sini? Tak kan dia ni kot yang nak bagi kertas kat aku tadi?” hanya mampu berkata di dalam hati.

“Yup! It’s me. Kenapa? Terkejut ke?” Syahir mempamerkan senyuman manisnya. Nadhirah hanya mampu tersenyum sumbing. “Mahunya tak terkejut. Menakutkan I je bila ada orang tahu nama I dekat tempat public macam ni,” Nadhirah mengurut-urut dadanya yang terkejut tadi. Kertas yang Syahir hulurkan diambinya, lalu diselitkan dengan baik ke dalam dokemen semula.

“Hehehe....I’m sorry kalau I dah takutkan you tadi. Actually, I dah nampak you dari tadi masa kat dalam lif, kebetulan pula you pun stop kat aras ni. Ada meeting juga ke?”

“Urmm,yeah. I got meeting here around 5 minutes left nak start ni. Tiba-tiba ketua I suruh I gantikan tempat dia hari ni because he have some emergency. You pun meet.....” belum sempat Nadhirah menghabiskan soalannya, Syahir telah menganggukkan kepalanya sebagai tanda jawapan ‘ya’.

“Whoa! Don’t tell me, you from the Asian Intergrated Shipping Company,” Nadhirah sudah tidak keruan menanti reaksi dari Syahir.

“What if I say ‘yes’? So, you from ProTech Engineering? Sebab I difahamkan mesyuarat yang dijalankan kat sini adalah antara dua company ni je untuk hari ni.” Syahir tersenyum bangga seolah-olah dia bahagia dapat bekerjasama dengan Nadhirah.

“I tau,it just between this two company but I don’t even expect to meet you here. Hmm, nampaknya I tak boleh nak elak dari you lagi lah lepas ni,”

“Hah? Apa dia? Elak dari I? Yelah, I know you still mad at me and I’m so sorry about it. But talking professionally, can you put a side that feeling between our personal life and work? Jom lah masuk dewan tu, I rasa they all mesti tengah tunggu kita,” Syahir merenung Nadhirah tajam. Nadhirah membisu seribu bahasa lantas membuka langkah berjalan masuk ke dalam dewan mesyuarat, Syahir mengekorinya dari belakang sambil membetulkan tali lehernya.

*          9         *


          Waktu hujung minggu kali ini tidak dihabiskan bersama keluarga seperti biasa. Malam kelmarin, Syahir telah menghubungi Nadhirah. Setelah mereka ditakdirkan untuk bekerjasama dalam projek usahasama syarikat masing-masing, Nadhirah terpaksa memaniskan muka kerana terpaksa sering bertemu dengan Syahir. Inilah yang perlu dilakukan, bersifat profesional. Masalah peribadi tidak dijadikan sebagai batu penghalang untuk terus bekerja bersama. Sesekali ada keluhan dari Nadhirah, acap kali juga dia terfikir, mengapa semua ini harus terjadi? Di saat dia sudah boleh melupakan Syahir, lelaki itu muncul kembali tanpa diundang.

Projek yang mereka lakukan telah pun selesai dua bulan yang lepas. Apa yang merimaskan Nadhirah, Syahir masih tidak putus-putus terus menghubunginya walhal Syahir sedar akan sikap acuh tak acuh Nadhirah. Namun, itu bukan alasan untuk Syahir terus beralah. Mereka telah bersetuju untuk keluar bersama pada hujung minggu itu, Syahir telah menjemput Nadhirah di hadapan rumahnya. Tampak ringkas penampilan Nadhirah, dia mengenakan sehelai jeans ‘boot cut’ bersama sepasang blouse berona ungu lembut, dipadankan pula dengan sepasang kasut ‘wedges yang menambahkan ketinggiannya. Panduan Syahir telah ditujukan ke arah pinggir bandar Kuala Lumpur.

Pemandangan dari atas bukit di pinggir bandar ini sungguh mempersonakan, bangunan-bangunan pencakar langit Kuala Lumpur menjadi tumpuan utama sesiapa sahaju yang memandangnya dari atas bukit ini. Kesunyian menyelubungi dua insan di atas bukit itu, masing-masing berdiri sambil bersandar pada kereta milik Syahir.Pandangan Nadhirah dilemparkan pada bangunan-bangunan yang tersergam indah di hadapan manakala Syahir sesekali memandang Nadhirah di sisi. Terasa kering kerongkong Syahir untuk meluahkan kata-kata tatkala melihat Nadhirah di depan mata, rasa bersalahnya pada wanita itu beberapa tahun dahulu terus menyelubungi dirinya.

“Nadhirah, can we have a talk?” Syahir cuba menarik perhatian wanita di sisinya itu. Nadhirah menoleh ke arah Syahir dengan satu senyuman yang cukup manis di mata Syahir. “Apa dia?” sambut Nadhirah.

*          10       *


          “Syahir, you the one who decide to leave me first! Sekarang you kata nak couple balik?! You ingat I ni apa? Game macam yang you selalu main dulu? Bila suka main, dah boring tinggalkan, lepas tu nanti main balik?” Nadhirah bersuara tinggi, dia menjadi bengang apabila mendengar hasrat ‘murni’ Syahir untuk kembali bersamanya.

“Dear, I’m sorry. I tahu I silap dulu. I shouldn’t do that to you if I’m not confident with myself that moment. I rasa betul-betul menyesal. Please give me one more chance? I promise, I tak akan sia-siakan you kali ni. I’m seriously in love with you now.” Ada nada kesal dan merayu pada suara Syahir.

“After this long time, kenapa baru sekarang you nak sedar kesilapan you? No, it’s not your mistake, dah memang kita tak ditakdirkan untuk bersama. I faham, may be lepas kita dah get together dulu, baru you sedar you tersilap buat pilihan agaknya.” Nadhirah hanya mampu tertunduk menuturkan kata-kata yang sudah lama terpendam di hatinya. Mata Nadhirah mula bergenang, begitu pahit baginya untuk mengingat kembali kisah lama itu.

          “It’s not true. Bukan sebab I tersilap pilih, ok. I memang sukakan you from our first met but I don’t know why tiba-tiba perasaan tu hilang. I pun rasa bersalah bila nak buat keputusan tu cause I know I will hurt you,” Syahir terus manatap Nadhirah.

          "Hurt me? Tahu pula you dah sakitkan hati I! Then? Kenapa lepas kita dah break you langsung tak ada contact I? You don’t even show the effort want to know how am I doing lepas tu kan? You just disappear, just like that!” Nadhirah memetik jarinya di  depan Syahir, matanya merah menahan sebak.

          “Bukan I tak nak. I takut kalau you masih marahkan I lagi. I pun tak nak kacau study you masa tu. Entahlah, I pun tak tahu macam mana nak berhadapan dengan you balik. I’m really sorry, Nadirah.”

          “So that’s how the story ends??!!” Nadhirah terus mengambil beg tangannya di dalam kereta lalu beredar.

          Syahir menjadi kaku melihat tingkah laku Nadhirah, dia kebingungan melihat wanita yang dia cintai tanpa disedari meninggalkannya. “Nadhirah!!! You nak pergi mana tu? Come on, I’m very sorry about that!” laung Syahir melihat Nadhirah laju mengaturkan langkahnya.

          Air mata terus berlinangan berjujuran jatuh ke bumi. Sesekali air mata hangat itu diseka ke tepi, pilu rasa hati apabila mendengar alasan Syahir. Laungan Syahir dari jauh tidak dihiraukan lagi. Biarlah dia berjalan sendiri untuk pulang ke rumah. Tidak tertahan rasa hati untuk terus berhadapan dengan Syahir. Nadhirah tidaklah sekuat yang disangka, dia menjadi begitu lemah bila berhadapan dengan insane bernama Syahir.

          “NADHIRAH!!!!!!!!” Syahir menjerit kuat.  Sebuah lori dari arah bertentangan kelihatan begitu laju sekali. Syahir berlari cuba mendapatkan Nadhirah yang sudah jauh, namun hampa.

*          11       *


          Hujan renyai-renyai membasahi bumi, burung-burung juga tidak berkicau riang seperti selalu, awan terus mendung menutupi sinaran cahaya matahari. Hari yang murung mungkin juga hari yang meratapi pemergian seseorang. Payung-payung dibuka untuk dijadikan perlindungan diri dari dibasahi hujan, bau haruman bunga kemboja yang memutih jatuh berguguran pada tanah. Bacaan talkin baru saja selesai, air mawar mula disiram seorang demi seorang, bungabunga ditaburkan pada pusara. Air mata membasahi pipi setiap insan yang berada di tanah perkuburan pada pagi itu. Alam ini seakan-akan turut meratapi pemergian seseorang yang begitu disayangi ramai.

          “Salam takziah pak cik. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Saya harap pak cik dapat bersabar mungkin ini semua dugaan Tuhan untuk kita semua. Tuhan lebih menyayangi dia,” tangan Faizal memegang bahu seorang lelaki tua. Pasti pak cik ini begitu sedih akan pemergian anaknya yang tercinta. Lelaki tua itu hanya mampu mengangguk, “Terima kasih, nak. Pak cik pun berharap macam tu.”

          Batu nisan itu diusap sebentar sebelum meninggalkannya. Falzal bangun dari duduknya di tepi pusara itu lalu melangkah meninggalkannya. Songkok di kepala diperbetulkan, kaca mata hitam di poket baju melayunya dipakai semula. Faizal mengeluh berat mengenangkan nasib yang menimpa si mati. Seorang lelaki berdiri kaku tidak jauh dari pusara yang dilawati. Hujan renyai-renyai terus membasahi insane itu, Faizal mendekati lelaki itu.

          “Assalamualaikum.....” Faizal member salam dan menghulurkan tangannya untuk bersalaman. Tangan sejuk itu menyambut salamnya.

          “Awak ni kalau tak silap saya, Syahir kan? Saya Faizal, kawan Nadhirah, boleh anggap saya ni dah macam abang dia juga lah. Saya pernah nampak awak dekat Sunway Pyramid dulu, arwah ada tunjuk kat saya. Dia pun ada juga cerita pasal awak dekat saya,” kata Faizal dengan tenang memperkenalkan dirinya.

          “Ya, saya Syahir. Jadi awak tahulah kisah saya dengan Nadhirah dulu. Hmm...saya rasa betul-betul bersalah. Kalaulah saya tak ajak dia keluar hari tu....dan kalaulah saya tak mulakan pertelingkahan hari tu. Mungkin semua ni tak akan terjadi,” Syahir seperti menyalahkan dirinya sendiri. Pandangannya terus tertumpu pada kedua-dua orang tua Nadhirah.

          “Syahir, janganlah cakap macam tu. Ini semua kehendak Tuhan, bukan salah awak atau salah sesiapa. Mungkin ini dah suratan takdir, kita yang hidup ni kena lah terima qada’ dan qadar. Beristighfarlah, sedekahkan Al-Fatihah atau Yaasin pada arwah banyak-banyak. Cuma dengan cara tu, awak dapat buat dia tenang dekat sana. Saya rasa dia pun tak nak tengok awak macam ni terus-terusan menyalahkan diri sendiri,” Faizal memeluk erat bahu Syahir. Menjadi tanggungjawabnya untuk memujuk Syahir pula.

          “Saya sangat sayangkan dia,” perlahan suara Syahir.

          “Saya faham perasaan awak tu. Arwah pun pernah bagitahu saya, dia pun sayangkan awak sebenarnya tapi dia takut untuk terima awak balik. Nak berhadapan dengan awak pun dia tak sanggup walaupun ada rindu disebalik rasa takut tu,” Syahir sedikit terkejut mendengar penjelasan dari bibir Faizal. Faizal tersenyum melihat reaksi Syahir, “Jomlah ikut saya balik. Nanti saya belanja awak minum, boleh kita berbual dengan lebih rapat lagi.”

          Tanpa bantahan, Syahir mengikut langkah Faizal, berjalan meninggalkan tanah perkuburan itu dalam renyai hujan. Suasana tanah perkuburan beransur sepi, meninggalkan seluruh penghuninya bersendirian semula, bersemadi di situ menantikan hari perhitungan. Begitu juga Nadhirah yang telah kembali ke rahmatullah dalam tragedi ngeri tempoh hari. Lori yang laju itu telah merempuhnya dan Nadhirah telah melambung tinggi lalu jatuh di atas jalan berlumuran darah di depan mata Syahir sendiri. Hampa, Syahir tidak dapat menyelamatkan cintanya. Kini tiada lagi senyuman itu.


-TAMAT -

2 comments:

ami-chan said...

akhirnya aq habis gak baca novel ringkas ko ni...hihihi
ko ada bakat, idea n imaginasi..
cuma cite ko mcm cepat sgt..
aq tetap nak cadangkan ko tulis n publish novel wpun banyak kali ko tolak cadangan aq :D:D
just try tulis sket2..panjang kan cita..gambaran lebih sket..tp jgn lebih2..nnt nyampah plak org nk baca hehe
in da future, if rei chan publish a novel, do tell me, ami will buy it and require an autograph XDXD

NuryBella said...

sebab aku x reti nk drag cte lme2...! hahaha..thnx sudi bce smpai abes :)
idea aku makin tepu skrg penulisan aku limited dh teknik ny....x sehebat dolu dah....hahaha